AS mahu ‘lumpuhkan’ ekonomi Iran, sekat sumber pendapatan

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent pada Isnin mengumumkan rancangan untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran, termasuk menyekat sumber pendapatan negara itu.
Rancangan itu diumumkan hampir enam bulan selepas perang terhadap Iran menemui jalan buntu, dengan rundingan damai terhenti.
Pada masa sama, Iran dilaporkan menghalang kebanyakan pergerakan melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi perdagangan minyak dunia.
Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, lima sektor kritikal menjadi sasaran utama iaitu aset digital, teknologi, emas, penerbangan dan perkapalan.
Sektor-sektor itu didakwa digunakan kerajaan Iran untuk menyokong ekonominya.
Bessent turut memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang membantu pengubahan wang haram bagi pihak Iran akan disingkirkan daripada sistem kewangan dolar AS.




