Malaysia
Guru ditahan disyaki pukul murid, tampar ibu pelajar

Polis menahan seorang guru lelaki berusia 54 tahun yang disyaki memukul seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dan menampar ibu pelajar itu dalam dua kejadian berasingan di Pasir Mas, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mazlan Hassan berkata, guru terbabit ditahan semalam selepas ibu pelajar membuat laporan polis.
Menurutnya, kejadian melibatkan pelajar itu berlaku di sebuah sekolah menengah pada Selasa, manakala kejadian membabitkan ibunya berlaku semalam ketika wanita itu bertemu guru berkenaan untuk membincangkan kejadian terhadap anaknya.
Guru terbabit dipercayai menampar wanita itu ketika pertemuan berkenaan. Suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.




