Dunia
Houthis dakwa Arab Saudi lancar lebih 50 serangan dalam 24 jam

Kumpulan Houthi di Yemen mendakwa Arab Saudi melancarkan lebih 50 serangan udara ke beberapa kawasan yang dikuasai kumpulan itu dalam tempoh 24 jam.
Jurucakap Houthi, Yahya Saree, mendakwa serangan itu menyasarkan beberapa wilayah di Yemen termasuk Saada, Marib, Taiz, Hodeida dan Al-Jawf.
Serangan itu dipercayai berlaku selepas Houthi melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke sebuah pangkalan tentera Arab Saudi di Sharurah. Serangan berkenaan didakwa menyasarkan depot senjata dan pusat kawalan.
Ketegangan antara Arab Saudi dan Houthi semakin meningkat ketika konflik di Yemen kembali memuncak. Setakat ini, dakwaan jumlah serangan daripada pihak Houthi itu belum disahkan secara bebas.




