Ketua AMK tegaskan kedudukan Anwar kukuh, himpunan tidak jejaskan kestabilan

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan bahawa kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kekal kukuh dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam Kerajaan MADANI.
Ia sekaligus tidak terjejas oleh sebarang usaha menggugat, termasuk Himpunan Turun Anwar yang dirancang pada 26 Julai ini.
Beliau berkata, cubaan menjatuhkan Perdana Menteri melalui perhimpunan jalanan hanya mengundang keresahan rakyat tanpa menawarkan sebarang penyelesaian sebenar, selain tidak memberi kesan kepada kestabilan politik negara.
Tambahnya, rakyat kini semakin matang menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan gerakan yang didalangi pemimpin pembangkang, meskipun hak untuk berhimpun adalah sebahagian daripada prinsip demokrasi yang dihormati.
Terdahulu, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan hadir merasmikan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI Parlimen Tambun yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran.



