Pelancong India maut, tergelincir jatuh dari bot di Pulau Tioman

Seorang wanita warga India maut selepas dipercayai tergelincir dan jatuh ke laut ketika mahu menaiki semula bot selepas aktiviti selam skuba di perairan Renggis, Pulau Tioman, Rompin, Sabtu semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.50 pagi. Mangsa, Sabiya Shiek, 65, menyertai aktiviti discovery scuba diving bersama enam ahli keluarga, dua jurulatih dan seorang dive master.
Selepas aktiviti selesai, mangsa meminta untuk kembali ke bot. Ketika anaknya membantu menanggalkan peralatan selaman, Sabiya dipercayai tergelincir ketika memanjat tangga bot sebelum terjatuh semula ke laut.
Jurulatih segera menjalankan pencarian dan menemukan mangsa kira-kira 15 minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar berpasir berhampiran lokasi selaman.
Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek sebelum disahkan meninggal dunia. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.



