Hampir 14,000 kes tunggakan nafkah bekas isteri selesai dalam 5 tahun – Menteri

Sebanyak 13,920 kes tunggakan nafkah bekas isteri berjaya diselesaikan sepanjang 2020 hingga 2025 menerusi pelbagai inisiatif Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, bantuan pendahuluan nafkah disalurkan bagi memastikan kebajikan bekas isteri dan anak-anak terpelihara sementara menunggu pelaksanaan perintah mahkamah.
Sehingga Disember 2025, sebanyak RM1.73 juta disalurkan sebagai pendahuluan nafkah dan jumlah sama turut diagihkan bagi bantuan nafkah sementara kepada golongan memerlukan.
Selain itu, bantuan BSK Transit disediakan untuk menampung kos perjalanan, makan dan penginapan bekas isteri yang menghadiri prosiding mahkamah berkaitan tuntutan nafkah.




