Program MADANI Rakyat 2026 buka tirai di Meru, sasar 100,000 pengunjung

Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 membuka tirainya di Meru Raya, Ipoh, Perak sebagai lokasi pertama penganjuran tahun ini, dengan sasaran kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan program itu meurpakan platform bagi rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi, sekali gus menjimatkan masa dan kos.
Penganjuran kali ini menampilkan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat, termasuk persembahan seni dan kebudayaan yang mengetengahkan bakat pelajar, sesi ceramah berkaitan pembangunan bandar pintar dan komuniti lestari.
Turut menjadi tarikan ialah pendedahan kepada teknologi bandar pintar menerusi demonstrasi interaktif, selain perkongsian peluang kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk mendapatkan bimbingan pensijilan halal serta akses pasaran lebih luas.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai inisiatif mesra rakyat seperti Jualan Rahmah dengan diskaun sehingga 30 peratus, karnival kerjaya, serta perkhidmatan percuma termasuk penukaran topi keledar, minyak enjin motosikal dan gunting rambut.




