Speedy Tigers gagal catat kemenangan dalam siri ujian di Durban

Pasukan hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers, menamatkan siri lima perlawanan ujian menentang Afrika Selatan tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 5-2 dalam aksi terakhir di Durban, Afrika Selatan pada 12 Julai.
Skuad kendalian jurulatih Brendon Carolan memulakan siri yang berlangsung dari 6 hingga 12 Julai dengan dua kekalahan, 3-1 dan 2-1, sebelum mencatat dua keputusan seri 2-2 serta 3-3 dalam perlawanan ketiga dan keempat.
Secara keseluruhan, Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia menjaringkan sembilan gol dan melepaskan 15 gol sepanjang siri ujian menentang Afrika Selatan yang menghuni ranking ke-13 dunia. Penyerang Azrai Aizad Abu Kamal muncul penjaring terbanyak negara dengan tiga gol.
Siri perlawanan ujian itu diadakan sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Hoki Lelaki 2026 di Belanda dan Belgium dari 14 hingga 30 Ogos, selepas Speedy Tigers menamatkan kempen FIH Nations Cup 2026 di Cape Town, Afrika Selatan di kedudukan kelima.




