
Sikap menyalahkan mangsa atau ‘victim blaming’ masih menjadi cabaran dalam menangani isu keganasan terhadap wanita di Malaysia.
Menurut Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), walaupun ramai memahami maksud keganasan terhadap wanita, masih ada segelintir masyarakat yang mengaitkan jenayah itu dengan tindakan, pakaian atau situasi mangsa.
“Masih ramai lagi yang merasakan keganasan yang berlaku terhadap wanita itu justified ataupun mengatakan ada sebab keganasan tersebut berlaku kepada wanita tersebut.” – WAO
Tambahnya, persepsi itu menyebabkan masyarakat lebih mempersoalkan mangsa berbanding memberi tumpuan kepada pelaku. Kajian WAO turut mendapati kurang daripada 40 peratus rakyat Malaysia percaya kepada budaya persetujuan, menunjukkan tahap kesedaran mengenai hak tubuh badan dan batasan masih rendah.
“Kita dapat tahu sebenarnya tahap kesedaran kita masih rendah dan memang melalui pendidikan juga pentinglah sama ada secara formal ataupun tak formal.” – WAO
Menurut WAO, keganasan terhadap wanita bukan hanya berlaku di tempat awam, malah banyak kes melibatkan individu yang dikenali seperti pasangan, ahli keluarga atau rakan.
Sikap menyalahkan mangsa pula boleh memberi kesan psikologi seperti trauma berpanjangan, rasa bersalah dan menyebabkan mangsa takut tampil mendapatkan bantuan.
WAO menegaskan pendidikan awal perlu diperluaskan dengan memberi penekanan terhadap hubungan sihat, batasan diri dan menghormati hak tubuh badan orang lain. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak lelaki dan perempuan agar memahami konsep persetujuan serta tidak membentuk budaya yang menyalahkan mangsa.
Isu keganasan terhadap wanita bukan sekadar tentang melindungi mangsa, tetapi juga memastikan masyarakat bersama-sama membentuk persekitaran yang menghormati batasan, menolak budaya menyalahkan mangsa dan bertanggungjawab terhadap tindakan pelaku.



