Malaysia
Mayat bayi ditemukan di rumah sampah asrama, penuntut wanita direman

Seorang penuntut wanita sebuah institusi pendidikan di Kuala Langat direman selama empat hari bermula Sabtu selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat bayi perempuan di rumah sampah sebuah blok asrama.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi, berkata mayat bayi yang dibalut dengan kain itu ditemukan pada Jumaat, dengan laporan diterima polis kira-kira 12.20 tengah hari.
Susulan kejadian itu, polis menahan penuntut berkenaan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat bagi membantu siasatan.




