Gagal isytihar aset, Ismail Sabri didakwa di mahkamah

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 66, didakwa gagal mengisytiharkan aset di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) akta berkenaan.
Prosiding itu sebelum ini dijadualkan pada 7 Ogos, namun ditangguhkan selepas Ismail Sabri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.
Kes itu berkait dengan siasatan SPRM terhadap dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram. Dalam siasatan berkenaan, SPRM dilaporkan menyita kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang, 16 kilogram jongkong emas bernilai sekitar RM7 juta serta barangan berharga.




