Malaysia
Bilik darjah SMJK Chung Ling terbakar, tiada mangsa

Sebuah bilik darjah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Ayer Itam, George Town terbakar pada malam Isnin, 21 September.
Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.54 malam sebelum 12 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi.
Kebakaran melibatkan bilik darjah berkeluasan kira-kira 20 x 30 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan 20 peratus. Tiada aktiviti persekolahan ketika kejadian dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.40 malam, manakala operasi tamat pada 9.22 malam. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO).




