Tawar tarian warga asing, Pusat hiburan ‘gay’ diserbu

Sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas pada Sabtu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula kira-kira jam 12.05 tengah malam selepas risikan selama sebulan hasil maklumat awam. Seramai empat warga asing ditahan, membabitkan tiga lelaki China dan seorang lelaki Filipina berusia antara 21 hingga 31 tahun.
Pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.
Pusat hiburan itu dipercayai beroperasi sejak tahun lalu dan menawarkan persembahan tarian oleh warga asing kepada pelanggan tempatan serta warga asing di sekitar Lembah Klang, dengan bayaran antara RM53 hingga RM700 bergantung kepada jenis minuman dan tempahan meja.
Zakaria berkata, operasi turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ibu Pejabat dan Kuala Lumpur.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Tiga lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.



