Bekas tentera bakal jadi warden di semua 58 MRSM mulai 2027

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melantik bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di semua 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara, bermula 1 Januari 2027.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian terhadap projek rintis di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang menunjukkan hasil positif, khususnya dalam aspek disiplin dan keselamatan pelajar.
Kajian diketuai Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman dari Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati rondaan yang lebih kerap dan sistematik membantu mengurangkan peluang berlakunya buli serta vandalisme.
Kes buli sepanjang projek rintis juga dilaporkan hampir sifar, manakala pelajar dikatakan berasa lebih selamat dan lebih berdisiplin.
Langkah itu juga bertujuan mengurangkan beban guru yang sebelum ini menjalankan tugas warden selain tanggungjawab mengajar.
Setakat Julai lalu, 10 MRSM sudah mula menggunakan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa, sebelum pelaksanaan diperluas ke semua 58 MRSM.
MARA turut meminta UPM membangunkan modul latihan khas untuk warden baharu serta meneruskan kajian berkaitan isu buli mental.



