Anggota tentera didakwa dera anak perempuan

KOTA BHARU – Seorang anggota tentera berusia 40 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan menendang dan mendera anak perempuannya yang berusia lima tahun di sebuah restoran di Kelantan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memilih untuk dibicarakan. Dia kemudian dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan syarat tambahan.
Kes itu mendapat perhatian selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.55 malam Jumaat lalu di sebuah restoran di Jalan Kuala Krai.
Polis kemudian mengesan lelaki dan kanak-kanak berkenaan bagi membantu siasatan sebelum tertuduh ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Pengkalan Chepa, Ahad lalu.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Kes itu akan disebut semula pada 22 Oktober.




