Anwar tegaskan usaha diplomatik giat dijalankan, tuntut pembebasan segera aktivis Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sedang menggerakkan saluran diplomatik dan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan sukarelawan serta aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel segera dibebaskan.
Beliau turut memaklumkan bahawa perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Katanya lagi, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban rejim zionis, khususnya apabila ia melibatkan rakyat Malaysia.
Anwar turut mendoakan ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ketika ini.
Setakat jam 9 pagi, seramai 12 rakyat Malaysia dilaporkan antara lebih 200 aktivis antarabangsa yang ditahan selepas rejim Zionis memintas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) ketika cuba menembusi sekatan maritim ke Gaza.
Mereka termasuk Farah Lee, Danish Nazram, Zizi Kirana, Heliza Helmi serta beberapa sukarelawan lain yang menaiki lima kapal berbeza dalam misi berkenaan. Aktivis dari sekurang-kurangnya 37 negara lain turut ditahan.




