Galen Centre gesa kerajaan tidak rayu keputusan Mahkamah Tinggi isu vape nikotin

Galen Centre for Health and Social Policy menggesa kerajaan supaya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan pengecualian cecair dan gel nikotin daripada senarai racun.
Badan pemikir itu berkata keputusan mahkamah tersebut membuka peluang kepada kerajaan untuk memperkukuh dasar kesihatan awam selain meningkatkan hasil negara melalui kenaikan cukai tembakau.
Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre, Azrul Mohd Khalib berkata keputusan itu secara tidak langsung menyebabkan penjualan vape dan rokok elektronik yang mengandungi nikotin kembali tertakluk di bawah Akta Racun 1952.
Menurutnya, kerajaan kini mempunyai pilihan sama ada memfailkan rayuan dan penangguhan keputusan mahkamah, memperkenalkan semula pengecualian menerusi perintah baharu menteri, atau mengambil langkah yang lebih mudah dan bersih dari sudut undang-undang dengan menaikkan duti eksais rokok.




