Lelaki 29 tahun ditahan selepas pukul kepala mangsa dengan topi keledar

Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan polis selepas dipercayai memukul kepala seorang lelaki menggunakan topi keledar dalam kejadian pergaduhan di Inanam, Sabah, Sabtu malam lalu.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Shahrudin Mat Husain, berkata ibu mangsa membuat laporan polis pada petang Ahad sebelum suspek ditahan di Tuaran kira-kira jam 12.45 tengah malam, hari ini.
Menurut beliau, polis masih mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya serta merusuh dengan senjata.
Kejadian itu tular di media sosial menerusi rakaman video yang menunjukkan mangsa dipukul dan ditendang sekumpulan lelaki, termasuk dipukul di kepala menggunakan topi keledar.




