Pelajar universiti 17 tahun maut terjatuh dari tingkat 32 kondo di Cyberjaya

Seorang penuntut universiti tempatan berusia 17 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 32 sebuah kondominium di Cyberjaya, petang semalam.
Menurut Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.18 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Cyberjaya bergegas ke lokasi.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dengan tubuh berlumuran darah di tingkat 8 kondominium berkenaan akibat terjatuh dari tingkat 32 rumah yang didiaminya.
Siasatan di tempat kejadian melibatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Forensik IPD Sepang mengesahkan tiada unsur jenayah ditemui.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (Sudden Death Report, SDR).
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Cyberjaya untuk proses bedah siasat.




