Malaysia
Rosmah gagal tangguh bayaran RM67.5 juta kepada tukang emas Lubnan

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan penangguhan tanpa syarat terhadap bayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL.
Permohonan itu dibuat selepas tempoh penangguhan bersyarat selama 30 hari yang diberikan Mahkamah Tinggi pada 12 Ogos tamat. Rosmah sebelum ini diarahkan memasukkan jumlah tersebut ke dalam akaun bersama peguam kedua-dua pihak sementara rayuannya didengar.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril memutuskan tiada alasan kukuh untuk memberikan penangguhan tanpa syarat. Mahkamah turut mengarahkan Rosmah membayar RM30,000 kos kepada pihak berkenaan.




