53 ditahan dalam Ops Pedo, 8 daripadanya kanak-kanak

Polis menahan 53 individu, termasuk lapan kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun, dalam Ops Pedo Bersepadu yang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 14 hingga 16 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek terdiri daripada 51 lelaki dan dua wanita berusia 13 hingga 56 tahun. Dua daripadanya ialah penjawat awam di institusi pendidikan, iaitu seorang guru dan pembantu makmal.
Sebanyak 95 barangan dirampas, termasuk 90 peranti digital dan lima alat seks. Pemeriksaan awal menemukan 653,193 fail digital, antaranya 540,127 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Sebanyak 52 kertas siasatan dibuka, dengan 23 kes sudah dibawa ke mahkamah manakala 29 lagi masih dalam siasatan.




