Tekanan Ekonomi: Vietnam, Indonesia, Thailand & Filipina mula beralih kepada WFH

Beberapa negara Asia mula memperkenalkan semula dasar bekerja dari rumah (WFH) susulan lonjakan harga minyak global akibat konflik Asia Barat, sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan api dan tekanan ekonomi.
Di Vietnam, kerajaan menggesa syarikat melaksanakan WFH selepas harga bahan api melonjak mendadak hingga mencetuskan kesesakan di stesen minyak.
Indonesia pula sedang menilai pelaksanaan WFH sekali seminggu serta pembelajaran dalam talian, yang dianggarkan mampu mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 20 peratus.
Di Thailand, sektor awam sudah mula beralih kepada operasi jarak jauh selain memperkenalkan langkah penjimatan tenaga seperti had suhu penghawa dingin dan pengurangan perjalanan rasmi.
Sementara itu, Filipina melaksanakan aturan kerja fleksibel termasuk minggu kerja empat hari di pejabat, dengan hari selebihnya secara WFH, selain mengurangkan mesyuarat fizikal dan penggunaan kenderaan rasmi.




