Warga emas 71 tahun mengaku tidak bersalah rogol anak majikan di tandas Gurney Plaza

Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town hari ini berhubung kejadian membabitkan anak majikannya di sebuah pusat beli-belah, 1 Oktober lalu.
Tertuduh, Chuah Cheng Seng, 71 mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 18 tahun serta melakukan perbuatan luar tabii terhadap mangsa di tandas lelaki tingkat dua Gurney Plaza, kira-kira jam 4.30 petang.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) dan 377C Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh melapor diri setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi.
Kes ditangguhkan sehingga 16 November depan untuk serahan dokumen.
Menurut sumber, mangsa dilaporkan ditarik masuk ke tandas sebelum diserang secara paksa, dan kejadian terhenti selepas seorang pengunjung mengetuk pintu tandas. Mangsa kemudian menceritakan kejadian kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat dan suspek ditahan.




