Tak tahu sekolah ditutup, tiga beradik maut dalam perjalanan ke sekolah

Tiga beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, Johor, pagi Khamis, 8 Oktober.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan remaja lelaki berusia 18 tahun.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussian mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan. Polis dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian berkenaan dalam masa terdekat.
Difahamkan, ketiga-tiga beradik itu sedang dalam perjalanan ke sekolah ketika kemalangan berlaku.
Kejadian berlaku pada hari pertama penutupan sekolah di seluruh Johor selama dua hari susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu. Beberapa video dan gambar kejadian turut tular di media sosial.




