Tourism Malaysia mulakan aktiviti promosi TMM2026 di ibu kota

Tourism Malaysia memulakan aktiviti promosi bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bersama pengamal media sebagai usaha menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa terhadap keunikan destinasi negara.
Acara yang berlangsung pada Ahad itu menghimpunkan wakil media dari dalam dan luar negara di samping menekankan peranan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama serta hab pelancong singkat dan transit.
Di ibu kota, antara tarikan yang diketengahkan termasuk Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Bukit Bintang, Jalan Alor, Kampung Baru, Pasar Seni, Chinatown serta Batu Caves.
Tourism Malaysia turut menonjolkan destinasi berdekatan yang sesuai untuk lawatan singkat dari Kuala Lumpur, di samping memperkenalkan keunikan negeri lain seperti George Town di Pulau Pinang.
Kempen TMM2026 memberi penekanan kepada pengukuhan pasaran serantau terutama dari China, India, Indonesia, Singapura dan Timur Tengah.
Ia juga menampilkan pakej mesra Muslim, ekopelancongan, warisan budaya, pelancongan keluarga serta destinasi lestari.
Tourism Malaysia menegaskan negara bersedia menyambut jutaan pelawat menjelang 2026, dengan Kuala Lumpur sebagai titik permulaan untuk meneroka keindahan Malaysia.




