Bina hospital tiada masalah tetapi cabaran sebenar cari pakar – Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan cabaran utama Kementerian Kesihatan bukan membina hospital baharu, sebaliknya memastikan kemudahan itu mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk beroperasi dengan berkesan.
Menurutnya, negara kini berdepan kekurangan serius graduan perubatan bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan awam.
Bagi pengambilan pertama pegawai perubatan siswazah tahun ini, hanya 10 peratus kekosongan berjaya diisi kerana bekalan graduan yang terhad.
Beliau berkata langkah lebih berani perlu diambil untuk meningkatkan pengeluaran graduan perubatan, memperbaiki kebajikan petugas kesihatan serta menangani penghijrahan doktor ke sektor swasta dan luar negara.
Isu tenaga kerja itu memerlukan pendekatan menyeluruh seluruh kerajaan dan tidak boleh dipikul kementerian sahaja.




