Enam ahli keluarga maut nahas di Sungai Petani selamat dikebumikan

Enam ahli keluarga yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah Proton X50 dan lori membawa muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah semalam selamat dikebumikan hari ini dalam suasana penuh pilu.
Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri, anak-anak mereka serta seorang bayi berusia enam bulan yang maut di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang pada 7 Jun, kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki tujuh ahli keluarga itu dalam perjalanan menuju ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga lain sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun itu bergerak pada kelajuan sekitar 60 kilometer sejam ketika kejadian.
Pemandu lori berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ujian saringan air kencing ke atas pemandu juga didapati negatif.




