Malaysia
Enam pelajar MRSM Johor disyaki buli, bakal disingkirkan jika bersalah

Enam pelajar Tingkatan 5 sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor disyaki terbabit dalam kes buli terhadap seorang pelajar lain. Kes itu dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas ibu bapa mangsa membuat aduan kerana tidak tahan dengan tekanan yang dialami.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata semua pelajar terbabit telah direman dua hari bagi membantu siasatan. Beliau mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) dan pihak MRSM mengadakan mesyuarat disiplin dalam tempoh 24 jam bagi menjalankan siasatan.
Beliau menegaskan, jika didapati bersalah, kesemua pelajar akan disingkirkan daripada MRSM tanpa kompromi kerana perbuatan buli tidak boleh diterima dalam apa jua bentuk.




