Kerajaan kecam individu pijak al-Quran – Fahmi Fadzil

Kerajaan mengecam keras tindakan seorang individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform Threads menggunakan nama akaun ryandaselva.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan perbuatan itu disifatkan sebagai biadab, menghina agama Islam serta boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain menyelaras dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Terdahulu, individu berkenaan memohon maaf menerusi media sosial dan mengakui kesilapan, dengan alasan hantaran dibuat ketika dipengaruhi perasaan marah dan dendam.




