Malaysia
Lelaki ditembak di muka selepas cuba halang pencuri lembu

Seorang lelaki cedera selepas ditembak di bahagian muka ketika cuba menghalang sekumpulan pencuri lembu dalam kejadian di Ladang Kemahang, Felda Kemahang 1, awal pagi tadi.
Mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, terkena tembakan di bahagian dagu sekitar jam 2.30 pagi ketika keluar bersama beberapa rakan untuk rondaan mencari pencuri lembu di kawasan tersebut. Kini dia berada dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan lanjut.
Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat menyebabkan semua mangsa melarikan diri untuk menyelamatkan diri.
Menurut adik mangsa, Mohd Amirul Akil, 38, pencuri dipercayai menggunakan ubat pelali terhadap lembu sebelum haiwan itu dipindahkan menggunakan kenderaan ke lokasi lain.




