Muhyiddin bebas empat pertuduhan berkaitan Bukhary Equity

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dakwaan menerima RM200 juta daripada syarikat itu, manakala satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dakwaan meminta jumlah sama daripada Bukhary Equity.
Peguam bela Muhyiddin, Hisyam Teh Poh Teik, meminta mahkamah membebaskan anak guamnya daripada keempat-empat pertuduhan itu. Beliau berkata pendakwaan tidak lagi berminat meneruskan kes berkenaan kerana tiada bukti dikemukakan dan tiada kenyataan saksi diserahkan kepada pihak pembelaan bagi empat pertuduhan tersebut.
Hisyam turut berkata pendakwaan tidak memberikan alasan kukuh mengapa kes itu perlu diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA). Menurutnya, jika tiada alasan kukuh diberikan, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain memberikan pelepasan yang membawa kepada pembebasan.
Sementara itu, pihak pendakwaan kini hampir menamatkan kes terhadap Muhyiddin bagi tiga lagi pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan Jana Wibawa.
Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk meminta RM25.3 juta sebagai suapan daripada Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, KCJ Engineering Sdn Bhd serta pengarah urusannya, Azman Yusoff.




